Search
Wednesday, February 22, 2012..:: BAHASA » Suara Islam::..Register  Login

SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL  1431H YANG BERTEMAKAN

 “MEMANTAP UKHUWAH MEMPERKASA UMMAH”

Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan untuk tahun ini diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Putra, Putrajaya

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

الحمد لله رب العالمين القائل لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة

والصلاة والسلام على سيّدنا محمد القائل إنما بعثت لأتمم مكارم الاخلاق

وعلى اله وصحبه ومن اتبع هداه الى يوم الدين

 

            Setiap tahun kita memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah, anugerah  dan sebagainya. Melalui majlis ini kerajaan berharap masyarakat Islam dapat mengingati perjuangan Rasulullah saw. Kita ummat Islam hendaklah menjadikan Rasulullah saw sebagai uswah hasanah (contoh teladan yang baik) dalam kehidupan kita sebagai khalifah Allah di mukabumi ini.

Bersempena dengan Tema Sambutan Maulidur Rasul s.a.w. iaitu “MEMANTAP UKHUWAH MEMPERKASA UMMAH”, usaha memantapkan dan memperkukuhkan hubungan ukhwah ataupan ikatan persaudaraan perlu dijadikan agenda berterusan ke arah melahirkan Ummah yang dapat merencana program, merangka strategi, melaksana aktiviti dan membuat tindakan susulan yang mesti dilakukan bagi membangun dan memperkukuhkan serta mengangkat martabat Ummah.

Assalamualaikum... Saudara!

Akhir Febuari lalu, umat ISLAM  menyambut Maulidur Rasul. Tarikh Hijrah jatuh pada 12 Rabiulawal 1431 bersamaan 26 Feb 2010. Kami , warga Suara Malaysia terutamanya di Unit Bahasa Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi beberapa info. Selamat Menyambut Maulidur Rasul!

Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada hari Isnin 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Perayaan Malidur rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir. Kerajaan Fatimah telah merayakan perayaan ini secara besar-besaran.

Seperti yang telah diketahui, perayaan Maulidur Rasul ini merupakan satu perayaan yang kontroversi. Ulama' berbeza pendapat akan kebolehan perayaan ini. Kita sebagai masyarakat awam tersepit antara dua pendapat. Yang mana perlu kita turuti. Sedangkan kedua-dua belah pihak terdiri daripada ulama'-ulama' yang hebat dan tidak boleh ditolak lagi akan kewibawaan mereka.

 Di dalam Rancangan ini, saya selitkan HUJAH MEMBOLEHKAN MAULIDUR RASUL Antara ulama' yang menyokong akan Maulidur Rasul ialah Imam Jalaluddin Sayuti dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Telah berkata Imam Jalaluddin Sayuti: "Ibadat macam itu adalah bid'ah Hasanah (bid'ah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia".

Selain itu Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan ada mengatakan: "Telah berlaku kebiasaan bahawa orang apabila mendengar kisah Nabi dilahirkan, maka ketika Nabi lahir itu mereka berdiri bersama-sama untuk meghormati dan membesarkan Nabi Muhammad saw. Berdiri itu adalah hal yang mustahsan (baik) kerana dasarnya ialah membesarkan Nabi Muhammad saw dan sesungguhnya telah mengerjakan hal serupa itu banyak dari ulama-ulama ikutan umat.

" Berkata pula Syeikh Atiah Saqr: "Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk menyambut maulid. Apatah lagi di zaman ini pemuda pemudi Islam semakin lupa dengan agama dan kemuliannya. Perlu juga diingat sambutan tersebut janganlah dicemari oleh perkara-perkara haram dan bid'ah. Seperti pergaulan antara lelaki dan wanita tanpa batas. Kita juga tidak sewajarnya menjadikan sambutan ini sebagai satu tradisi yang khusus, sehingga timbul dalam kefahaman masyarakat jika sesuatu acara tidak dilansungkan maka seseorang itu dikira telah berdosa dan melanggar syariat.

" Syeikh Yusuf Qardawi juga telah memberi komen mengenai maulid ini. Beliau berkata(ringkasan): "Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah saw tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah saw. Ini adalah kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah saw dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah saw itu kekal di dalam hati dan juga ingatan.

 Sa'd Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah saw kepada kanak-kanak sama sepertiman keghairahan mereka mendidik anak-anak itu Al-Quran. Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan

Rasulullah saw, maka tidak perlulah mereka merayakan sepertimana dirayakan Maulid ar-Rasul kini. Walaubagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya.

Dengan itu, perayaan Maulid Rasul ini diadakan bertujuan untuk mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah saw masih hidup. Tetapi malangnya, Maulid Rasul ini telah bercampur dengan amalan bid'ah yang ditentang oleh Islam.

Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam. Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bid'ah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam."

 Itulah antara dalil-dalil yang menjadi hujah bagi yang membolehkan Maulid ini:*

1) Allah berfirman: "maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) mereka itulah yang beruntung." - Al-Araf: 157

Keterangan: Tujuan maulud diadakan adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad saw. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.

2) Firman Allah: "Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah."-Ibrahim. Ayat 5 Keterangan: Al-Baihaqi di dalam "Syakbu al-Iman" daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi saw, sesungguhnya baginda menafsirkan 'hari-hari Allah' ialah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma'ani menjelaskan lagi dengan katanya "kelahiran Nabi saw merupakan nikmat yang paling besar."

 3) Bahawasanya Nabi Muhammad saw datang ke Madinah maka beliau mendapati orang-orang yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: "Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?

" Jawab mereka: "Ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Firaun dan pada hari serupa itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan." Maka Nabi berkata: "Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu." – [Riwayat Bukhari dan Muslim.]

 Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata bahawa dari hadis ini dapat dipetik hukum: - Umat Islam dibolehkan bahkan dianjurkan memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari maulud, mi'raj dan lain-lain.

 - Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa Asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak. 4) Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata: Nabi (s.a.w.) telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu baginda bersabda: "Di hari tersebutlah aku dilahirkan dan di hari tersebut jugalah aku diutuskan."

 Keterangan: Rasul saw menegaskan kelebihan hari kelahirannya berbanding hari-hari lain. Oleh itu setiap mukmin sewajarnya berlumba-lumba beramal dan bersyukur dengan kelahiran baginda saw yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

Saudara!

Saya tertarik dengan tema Maulidr Rasul kali ini yang menepati konsep 1Malaysia. Ia amat baik bagi tujuan menyuburkan keharmonian antara kaum di negara ini. Ukhuwah adalah persaudaraan. Ia adalah elemen yang sangat penting bagi membina Malaysia yang harmoni, kerana kemajmukan kaum serta agama yang dianuti rakyatnya.

Bukan sekadar menjadi tema, semangat ukhuwah ini harus dipupuk dan disuburkan. Seluruh rakyat negara ini tidak kira apa kaum serta agama yang mereka anuti harus mempunyai rasa tanggungjawab untuk membangunkan negara serta menjaga keharmoniannya. Selama ini pun, ukhuwah memang telah lama wujud di negara ini. Kalau tidak masakan rakyat Malaysia boleh berkongsi hidup sejak lebih 50 tahun kemerdekaan.

Apa pun, ada 'deringan' di sana dan sini pada ketika ini oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mensabotaj keharmonian tersebut. Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini suka memanipulasi keadaan bagi menimba keuntungan diri dalam jangka pendek. Mereka perlu ingat, jangan sampai 'bahagia semusim, tetapi akhirnya derita berpanjangan'. Sejarah zaman Kesultanan Melayu dahulu ada pelbagai pengajaran yang berkaitan situasi ini.

Ada dua konsep ukhuwah, iaitu insani dan Islam. Ukhuwah insani adalah hubungan antara manusia dengan manusia. Ia berlaku kawasan kejiranan, di pejabat, di institusi pengajian dan malah di mana-mana tempat manusia berurusan sesama manusia. Kalau anda tidak kenal jiran anda dan tidak pernah bertegur sapa, maknanya tiada semangat ukhuwah di situ. Ada orang tidak pernah bertegur sapa dengan rakan sepejabat. Sebaliknya, di era komunikasi ini ramai yang tidak pernah bersua muka boleh berbicara seolah-olah telah kenal 10 tahun dulu. Ini boleh dilihat dalam media sosial seperti facebook

Islam memang tidak pernah mengajar umatnya berselisihan. Kadang-kadang kerana tak sependapat dalam hal yang kecil dan kurang penting, manusia sanggup mencipta dosa. Contohnya, dalam hal cara amalan ibadah dibuat. Adalah suatu perkara biasa jika kita punya pandangan yang berbeza. Manusia memang unik. Jangan terlalu cepat mengamalkan sikap aku betul, dan engkaulah yang sentiasa salah. Jangan pula menghina agama lain yang dianuti rakan-rakan dari kaum lain (Cina dan India misalnya).

Ummah akan roboh jika ukhuwah hancur. Semoga Allah memberi hidayah dan inayah, serta memberi pertolongan bagi menyatukan sebarang kumpulan yang berbeza pendapat di negara ini.

Salam Maulidur Rasul  1431H dan Salam satu Malaysia.

"Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah"

Saudara!

Majlis sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya 26 Feb 2010

Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini yang bertemakan “Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah” akan diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Putra, Putrajaya Jumaat ini.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Hajjah Haminah Binti Haji mencemar duli ke Majlis ini yang disaksikan oleh beribu-ribu umat Islam yang hadir maraikan Sambutan Maulidur Rasul kali ini.

Yang turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak; dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Majlis sambutan telah bermula dengan perarakan dari Istana Kehakiman seawal pukul 7.30 pagi tadi dan berakhir di Masjid Putra.

Sebanyak 106 kontinjen yang terdiri daripada agensi kerajaan, badan berkanun, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan akan menyertai perarakan.

Saudara!

Malaysia dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang membawa prinsip 1 Malaysia menepati dengan tema Sambutan Maulidur Rasul kali ini, “Memantap Ukhwah Memperkukuh Ummah”.  

Saya kira pemilihan tema ini adalah tepat terutamanya jika kita mengambil kira beberapa masalah utama yang melanda umat Islam di serata dunia.Kita sebagai umat Islam perlu mengambil iktibar dengan sejarah penghijrahan Rasullullah bersama kaum Muhajirin dari Mekah ke Madinah demi menegakkan dan memperluaskan ajaran Islam tanpa halangan dari kaum musyrikin.

Antara aspek yang paling penting bagi kita mengambil iktibar adalah peristiwa Rasullullah mempersaudarakan kaum Muhajirin dengan kaum Ansar yakni penduduk tetap Madinah, suatu tindakan yang dianggap untuk memperkuatkan ukhwah antara dua kaum Islam besar di Madinah ketika itu.

Persaudaraan adalah tali yang mengikat antara manusia. Persaudaraan jugalah yang menyatukan di antara individu dan mengelak perselisihan sesama manusia. Oleh kerana itulah manusia perlu bersatu demi kehidupan yang harmoni dan bahagia serta pelbagai ikatan digunakan demi mengukuhkan persaudaraan dan penyatuan. Antaranya ialah ikatan darah, keturunan, bangsa, kabilah, warna, pangkat, negara, geografi malah ideologi manusiawi adalah pilihan manusia untuk hidup bersatu.

Namun, penyatuan berdasarkan ikatan-ikatan tersebut mudah terputus. Contohnya, orang berkulit hitam tidak boleh disatukan dengan orang kulit putih selamanya kerana warna yang berbeza. Begitulah yang lain. Kegagalan inilah yang menyebabkan manusia berpecah. Akhirnya, perpecahanlah yang menyebabkan manusia dan kehidupan menjadi lemah dan kucar-kacir.

Akan tetapi, apakah yang mampu menyatukan semua manusia tanpa dibatasi perbezaan zahiri dan duniawi? Jawapannya ialah akidah kita iaitu akidah islamiyyah yang menjadi tunjang pembentukkan persaudaraan Islam.

Sejauh mana mesej ini meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam khususnya masyarakat Islam/Melayu di negara kita? Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w bukan hanya terbatas dalam pembentukan akidah dan syariat bahkan meliputi akhlak.

Jika kita lihat secara mendalam, apakah yang cuba disampaikan dalam tema sambutan Maulidur Rasul  tahun ini, kita akan dapat mengenalpasti bahawa ukhuwah, jalinan persahabatan dan ikatan sesama kita dalam masyarakat adalah benteng dalam menangkis apa jua pancaroba yang mendatang, juga bersesuaian dengan Konsep 1 Malaysia, Maka, dengan ukhuwah, jalinan yang mantap, yang kuat, kita akan bangun dengan menjadi satu masyarakat, ummah yang teguh serta perkasa dalam apa jua rintangan dan cubaan.

Dalam aspek konsep 1 Malaysia umumnya, kita melihat ukhuwah yang disemai di antara semua lapisan masyarakat, masih ada yang longgar di mana-mana akibat arus pemodenan yang hebat, tetapi ini boleh diatasi jika masyarakat sedar akan nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri mereka sendiri dan sudah tentu diterapkan dalam diri setiap anggota keluarga dan masyarakat tanpa mengira siapa mereka.

Oleh itu, tanamkan azam bermula hari ini untuk kita sama-sama berganding bahu mendokong tema Maulidur Rasul tahun ini supaya kita mengukuhkan perpaduan sesama kita untuk memperkuatkan kaum kita untuk menghadapi cabaran demi cabaran yang bakal datang di kemudian hari.

Akhir kata, semoga Allah akan memberkati perpaduan yang kita jalinkan di atas nama Allah untuk menegakkan syiar Islam bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia bagi membuktikan umat Islam bukan negara yang ganas mahupun eksterimis tetapi adalah agama yang syumul dan mengujurkan kepada perpaduan dan kasih sayang.

Jazakumullah khairan kathira dan juga wabarakallahu fikum.

Sekian Terima Kasih

وبا لله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Disediakan- Hisham Mat Yazid (Hmy)

 

Copyright 2010 by www.vom.com.my   Terms Of Use  Privacy Statement